top of page
Writer's pictureFieda

Bagaimana Cara Untuk Meletakkan Harga Kek?

Updated: Jul 29, 2023

Salam & Hi


"Berapa harga kek ini.. wah mahalnya" ... "Beli Kek Secret Recipe ajalah" ... "Kedai kek depan rumah aku tu lagi murah"... "Bla bla bla bla....."


Ungkapan di atas seringkali saya dengar dan sudah biasa mendengarnya. Pada awalnya saya rasa agak kecewa dengan ungakapan tersebut semasa masih baru menceburi bidang ini. Baking world was totally a new world for me that time. Di mana saya tidak tahu untuk menentukan harga kek yang sebenarnya, tidak pasti bagaimana hendak meletakkan harga untuk sebiji kek, maka terjadilah proses meletak harga mengikut perasaan "mmm okeh lah ni kot" tanpa memikirkan betapa banyaknya faktor yang tidak di ambil kira.


Ada juga yang bertanyakan kepada saya bagaimana mahu meletakkan harga kek (dengan memberi saya gambar kek yang telah dibuat), di mana secara jujurnya saya tidak boleh menjawab dengan tepat kerana saya tidak tahu ape bahan yang digunakan, berapa lama kek disiapkan dan lain-lain kos yang berkaitan. Jadi saya menasihati mereka untuk mengira kos-kos yang sepatutnya sebelum menentukan harga kek. Wahhhh! ada yang terkejut betapa panjangnya list yang perlu dilakukan! Nak buat macam mana kan... So untuk mengetahui apa yang saya kongsikan bersama mereka click here: BAGAIMANA MENENTUKAN HARGA KEK jika tidak mahu membaca panjang bebelan saya ini.


Mahalnya sebiji kek itu adalah sangat subjektif bergantung kepada apa definisi mahal yang ditafsirkan oleh setiap individu itu. Seperti contoh yang selalu saya gunakan, secawan kopi di Kopitiam tidak akan sama harganya dengan secawan kopi yang dibeli di Starbucks. Mengapa? Kerana jenis kopi yang digunakan adalah berbeza. Jika kualiti yang diperkatakan, sudah tentulah secara logik akalnya ianya lebih mahal dari yang biasa. Begitu jugalah dengan kek. Tidak boleh dibandingkan harga kek yang dijual oleh si A dengan si B, walaupun keduanya menjual jenis kek yang sama. Ini kerana kita tidak tahu jenis bahan apa yang digunakan. Logik kan? Jadi, jika kita tidak tahu, adalah salah tindakan kita itu dengan membandingkan harga hanya kerana ianya sebiji kek. Lebih-lebih lagi kek yang dijual dikedai kek melalui proses "mass production" tidak boleh dibandingkan dengan "homemade based on order". Dari segi kualiti sangatlah jauh perbezaannya, itu tidak termasuk kualiti bahan dan lain-lain yang menyumbang kepada sesuatu harga jualan.


Saya mengambil masa terlalu lama untuk 'lock' kan harga kek yang saya hasilkan . Di dalam proses ini keluarga terdekat yang melihat perit jerih bagi menghasilkan sebiji kek turut serta mengatakan yang harga kek saya perlu di ubah, kerana saya bukan membuat kek semberono dan juga bukan "copy-paste" resepi kek-kek viral dan seangkatan dengannya, dan harga pasaran bahan-bahan kek juga semakin tinggi dan mahal. Saya menghasilkan sebiji kek itu melalui proses " Recipe trial & error: / R&D" . Bukan sekali buat saya terus dapat rasa kek yang saya mahukan, malah ada yang sampai 8 kali percubaan.


Juga kerana saya membuat "PREMIUM" kek di mana kesemua bahan-bahan yang saya gunakan adalah dicari dengan teliti serta berkualiti bukan main hentam tanpa dikaji selidik, tanpa paham apa yang perlu digunakan, dan kenapa ianya digunakan, maka sangat perlu untuk saya mengira kos-kos yang terbabit dengan teliti. Saya mengambil masa beberapa tahun untuk memahirkan diri dalam bidang yang saya ceburi ini, cuba untuk memberitahu semua yang "KEK ITU BUKAN SEKADAR KEK YANG MENGANDUNGI TEPUNG DAN GULA" tetapi ianya lebih dari itu. Di mana setiap kek yang dihasilkan itu adalah Masterpiece! dan berbeza dari segi kualiti bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan.


Ia sangat mudah untuk difahami sebenarnya jika kita menggunakan logik akal, di mana harga kek yang mahal itu kebiasaannya bahan-bahan yang digunakan itu mempunyai kualiti yang tinggi berbanding dengan yang murah. Berkecimpung dalam dunia membuat kek ini membolehkan saya membuka mata di mana bahan-bahan yang sangat baik kualitinya itu dijual dengan harga yang sedikit mahal berbanding yang biasa. Itu tidak lagi termasuk jika perlu mengdekorasi kek di mana ianya melibatkan masa, tenaga, skill dan idea. Ini semua adalah faktor penyumbang kepada harga kek itu.


Sekali lagi saya menegaskan bahawa MAHAL ITU ADALAH SUBJEKTIF. Sedikit demi sedikit, hari demi hari saya bersyukur kerana dianugerahkan dengan customers yang memahami konsep harga kek dari Pipito's Bakery. Di mana sekarang ini saya tidak lagi risau untuk menjelaskan mengapa harganya sedemikian rupa. Saya juga dapat mengenal prospek pelanggan yang mementingkan kualiti berbanding harga. "Berbaloi dengan harga" - Suatu perasaan yang sukar digambarkan apabila mendapat feedback customers sebegini yang berpuas hati dengan hasil kek yang dihasilkan dan serasi dengan citerasa mereka. Jadi saya tidak takut lagi untuk meletak "Value" pada produk yang dihasilkan. Tapi jangan lupa ya..... harga, kualiti dan juga kesedapan perlu jalan seiringan.


BAGAIMANA MENENTUKAN HARGA SEBIJI KEK SECARA GENERAL?


Di sini saya ingin kongsikan bagaimana cara mudah untuk meletakkan harga sebiji kek (untuk mereka yang benar-benar menjalankan perniagaan, boleh refer kepada yang pakar dengan mengambil kelas-kelas yang berkenaan). Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dititikberatkan:


HARGA JUALAN = (JUMLAH KOS) X (% KEUNTUNGAN)


JUMLAH KOS = KOS BAHAN-BAHAN + KOS UTILITI & MISCELLANEOUS + UPAH


Di sini saya berikan contoh cara mengira sebiji kek mentega bersalut krim (ini hanyalah contoh sahaja ya):


Bahan-bahan kek:

  • 250g mentega

  • 300g gula kaster

  • 4 biji telur ayam

  • 400g tepung gandum

  • 1 sudu teh garam

  • 250ml susu segar

Bahan-bahan krim:

  • 500g mentega

  • 500g gula aising

  • 60ml whipping cream

======================================================================================


KOS A: BAHAN-BAHAN


Kirakan setiap kos bagi bahan-bahan yang digunakan untuk sebiji kek termasuklah kos packaging, sticker perniagaan dan lain-lain. Pecahkan harga setiap bahan yang dibeli kepada harga seunit.


Cara mengira harga seunit untuk setiap bahan (contoh TEPUNG):

Harga 1kg tepung adalah RM4.00. Penggunaan di dalam resepi hanya 400g.


KIRAAN KOS/UNIT: (RM4/1000g) = RM0.004/segram

KIRAAN KOS PENGGUNAAN: RM0.004 x 400g = RM1.60


Teruskan mengira kos bahan-bahan seperti di dalam jadual Excel di bawah ini, dimana jumlah kos bahan-bahan adalah RM55.00 (setelah dibundarkan).


KOS B: UTILITI & MISCELLANEOUS

Ini adalah kiraan kos penggunaan elektrik / air / pencuci pinggan / sarung tangan getah dan lain-lain kos sampingan yang digunakan semasa proses membuat kek tanpa kita sedar. Contoh kebiasaan yang digunakan kebanyakan orang untuk mengira kos ini adalah, 10% dari jumlah kos bahan-bahan di atas (KOS A),


Pengiraan kos:

10% x KOS A (Kos Bahan-bahan)

= 0.1 X RM55.00

= RM5.50


KOS C: UPAH/GAJI

Di sini anda perlu menentukan nilai gaji yang layak anda beri kepada diri sendiri berdasarkan pengalaman dan kemahiran mengikut jam (proses menyiapkan sebiji kek, dari awal hingga akhir). Sebagai contoh anda meletakkan nilai upah RM10/jam, dan menyiapkan kek untuk masa seperti yang di bawah 3.67jam.

Pengiraan Upah:

RM10 x 3.67jam = RM36.70

= RM37.00 (setelah dibundarkan)



JUMLAH BESAR KOS MEMBUAT KEK

Tentukan jumlah kos bagi menyiapkan kek ini dengan menambah keseluruhan jumlah kos di atas KOS BAHAN-BAHAN (KOS A) + KOS UTILITI & MISCELLANEOUS (KOS B) + KOS UPAH (KOS C)


Pengiraan Kos:

RM55.00 + RM5.50 + RM37.00

= RM97.50


HARGA JUALAN KEK

Setelah mendapat jumlah besar kos bagi membuat kek ini, untuk mendapat untung jualan, anda perlu menentukan peratus keuntungan yang ingin dimiliki. Contohnya jika anda ingin memperolehi 30% keuntungan, maka kek boleh dijual dengan harga:


Pengiraan Harga Jualan:

RM97.50 X 1.3

= RM126.75


Dengan meletakkan harga jualan sebanyak RM126.75 untuk sebiji kek ini, anda memperolehi lebihan jualan/untung sebanyak RM29.25 (bersamaan dengan 23% gross profit margin).


Gross Profit Margin:

(RM126.75 - 97.50) / (RM126.75) x 100

=23%


====================================================================================


Baiklah, sampai di sini dahulu posting untuk kali ini. Diharap ianya dapat membantu anda dengan lebih baik dalam menentukan harga kek yang hendak dijual. Ini adalah sekadar perkongisan berdasarkan kepada apa yang telah saya pelajari.


Happy Costing!

27,670 views2 comments

2 Comments


Aida Farajuha
Aida Farajuha
Sep 17, 2022

Assalamualaikum nak tanya... Yang ni

*Dengan meletakkan harga jualan sebanyak RM126.75 untuk sebiji kek ini, anda memperolehi keuntungan bersih sebanyak RM29.25. *

Macam mna nak tahu keuntungan bersih yang kita dpt??

Kiraan dia mcm mna??

Like
Fieda
Fieda
Nov 01, 2022
Replying to

W'kmsalam.

Maaf atas kelewatan menjawab soalan tersebut. Saya tersilap tulis *MEMPEROLEHI KEUNTUNGAN JUALAN" sebenarnya, bukan *memperolehi keuntungan bersih* Maaf atas kekeliruan 🙇‍♀️🙇‍♀️ saya dah betulkan ayatnya. Terima kasih.

Like
bottom of page